Friday, July 24, 2009

Perlawanan Amal Tangkis Untuk Palestin KBMM VS Sayap-sayap WINGS








KBMM Sarankan “Misi Thomas 2010”

KUALA LUMPUR ~ Selepas berjaya menganjurkan perlawanan amal badminton “Tangkis Untuk Palestin” Sabtu lalu, Kesatuan Bulutangkis Melayu Muda (KBMM) kini merangka untuk membuat jelajah ke seluruh negara bagi mempromosikan “Misi Thomas 2010” sebagai persiapan merampas semula piala berprestij itu tahun hadapan.

Dalam sidang media pada sebelah petang sebelum perlawanan tersebut, Penasihat KBMM, Hasmi Hashim berkata, semangat masyarakat di peringkat akar umbi wajar disemarakkan bagi memberi sokongan padu kepada pasukan kebangsaan menuju kejohanan Piala Thomas dan Uber tahun hadapan.

Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada kejohanan Piala Thomas tahun hadapan dan kali terakhir pasukan negara berjaya merebut piala itu adalah pada 1992.

Sementara itu, KBMM yang kini tertumpu kepada merancakkan kegiatan sukan badminton di peringkat komuniti juga sedang bersiap untuk menghantar wakil ke Kejohanan Seluruh England Mac nanti.

“Kita mahu melihat secara lebih dekat bagaimana kejohanan yang dianggap paling berprestij itu dianjurkan selain memberi sokongan kepada pasukan badminton kebangsaan di sana,” katanya.

Menurut Hasmi lagi, dalam masa terdekat ini KBMM juga akan menghantar memorandum kepada Kementerian Pelancongan Malaysia bagi memohon agar lagenda-lagenda badminton negara diangkat sebagai ikon pelancongan di dalam dan luar negara.

“Masyarakat antarabangsa mengenali Misbun dan Rashid Sidek misalnya, dan kita wajar memanfaat lagenda-lagenda ini sebagai ikon pelancongan di samping memperlihatkan Malaysia sebagai negara jagoan badminton dunia,” tambah Hasmi dalam sidang media yang sama.

KBMM turut memohon kepada Kerajaan Selangor merezabkan rumah allahyarham Dato’ Haji Sidek bagi memberi penghormatan kepada bapa yang melahirkan pemain-pemain handalan dunia.

Sementara itu, jurulatih perseorangan negara, Dato’ Misbun Sidek pula berkata, program amal seumpama perlu terus diadakan bagi menyemarakkan lagi sukan badminton di peringkat akar umbi.

Ketika bercakap dalam program talk “Badminton Di Hati Saya,” Misbun turut membongkar rahsia rambut gaya Mohican yang pernah menjadi perhatian suatu masa dahulu.

“Saya mahu menjadi pemain nombor satu dunia, dan saya lakukan apa sahaja untuk mendapat gelaran itu. Rambut gaya Mohican itu seperti nombor satu daripada hadapan kepala sehingga ke ekor rambut,” katanya.

Turut hadir dalam program tersebut, pemain kebangsaan Roslin Hashim yang menceritakan pengalaman beliau berada di bawah latihan Misbun. Menurut Roslin, Misbun adalah seorang yang sangat serius dalam soal disiplin sehingga untuk menjadi seorang pemain handalan, beliau wajib bangun tidur seawall jam lima pagi setiap hari.

Dalam perlawanan amal Sabtu lalu bagi mengutip tabung untuk mangsa perang di Gaza, KBMM tumpas 3-4 di tangan Rockers United (RU). Pasukan selibriti RU diwakili oleh kumpulan rock Wings dan kelab peminatnya, Sayap-sayap Wings. Antara nama selibriti lain yang mewakili KBMM adalah pelakon Farouk Hussain, bekas pekerja Raja Lawak, Azrul Zaidi dan penyampai Radio Era, Adifashla Juraimi.

Cenderamata selepas pelawanan amal itu disampaikan bekas pemain beregu kebangsaan, Jailani Sidek. Perlawanan persahabatan amal berjaya mengutip hampir RM2 ribu dan hasil sumbangan orang ramai itu diserahkan terus kepada wakil Mercy Malaysia oleh Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, YB Amiruddin Shaari.

Program dimeriahkan dengan persembahan daripada kumpulan Pretty Ugly yang mendendangkan dua buah lagu, termasuk lagu berjudul “Dunia” yang ditujukan kepada mangsa perang di Gaza.

No comments:

Post a Comment