Sunday, August 9, 2009

Laporan "Temasya Piala Thomas KL 2010"


KUALA LUMPUR (9 Ogos): Menjelang Kejohanan Piala Thomas dan Uber tahun hadapan yang bakal menyaksikan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah, Kesatuan Bulutangkis Melayu Muda (KBMM) berjaya menganjurkan kempen "Temasya Piala Thomas KL 2010".

Kejohanan empat penjuru berlangsung semalam di Pusat Sukan Sport Planet, Ampang dekat sini. KBMM adalah badan swardaya sukan pertama di negara ini yang menggerakkan kempen menjelang Kejohanan Piala Thomas yang dijangka diadakan sekitar pertengahan tahun hadapan.

Selain KBMM sendiri, tiga lagi pasukan yang menyertai pertandingan semalam ialah New TV3, Rockers United (Wings dan Sayap-sayap Wings) dan Pilihan Gen-S. Rockers United berjaya menggondoli tempat pertama, News TV3 tempat kedua, KBMM yang menewaskan Pilihan Gen-S masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat.

Menurut Penasehat KBMM, Buddhi Hekayat, 33, program seumpama akan diteruskan sebelum menjelang Kejohanan Piala Thomas tahun hadapan.

"KBMM merasakan satu tanggungjawab sosial kami untuk menggerakan kempen kesedaran di kalangan masyarakat bawah agar siap menyokong pasukan negara menjuarai Piala Thomas tahun hadapan," kata Buddhi.

Kali terakhir Malaysia menjuarai Piala Thomas pada 1992 yang juga diadakan di Kuala Lumpur.

"Tidak pernah lekang daripada ingatan kita bagaimana hebatnya pasukan negara waktu itu menjuara Piala Thomas dan sokongan seluruh rakyat amat luar biasa," katanya lagi.

Menurutnya, KBMM percaya bahawa peranan menggerakkan kesedaran dan sokongan rakyat perlu dilakukan sekarang bagi menzahirkan sokongan padu daripada peringkat akar umbi.

"KBMM mengisyaratkan andai kita lewat menggerakkan kempen kesedaran, justeru kami bimbang kekentalan dan kepaduan sokongan longgar. Kita punya azam dan misi besar," tambah Buddhi.

Februari lalu, KBMM turut berjaya menganjurkan program bulutangkis amal kepada mangsa kezaliman rejim Zionis di Gaza. Program berkenaan dikenali sebagai "Tangkis Untuk Palestin."

"KBMM berikhtiar untuk sedikit menyumbang kepada progresifnya kemajuan sukan badminton meski kita bukan sebuah badan sukan yang melimpah wang ringgit," tambahnya lagi.

Hadiah-hadiah kepada pasukan yang bertanding turut disampaikan oleh wakil ahli majlis Ampang Jaya, Sabaruddin Main kepada para pemain. Sementara itu, Presiden KBMM, Ismail Mohd Shariff juga menyampaikan cenderahati kepada tetamu kehormat dan pihak penaja.

Pada kemuncak acara, penyanyi indipenden yang giat meningkat, Nabeeha Hameed menghiburkan dengan empat buah lagu termasuk beberapa single beliau yang berjudul "Pari-pari Kertas" dan "Inilah Aku". Beliau turut berduet dengan kumpulan Mistirius.

Monday, August 3, 2009

KBMM Lancar Kempen “Temasya Piala Thomas KL 2010”

Kesatuan Bulutangkis Melayu Muda (KBMM) sebagai badan bukan kerajaan (NGO) pertama di negara ini yang melancarkan kempen Piala Thomas 2010 yang akan diadakan di Kuala Lumpur tahun hadapan. Pelancaran kempen berkenaan telah diadakan pada Ahad lalu, 2 Ogos di Bilik VIP, menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Kempen berkenaan adalah bertujuan untuk mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat selain mencetuskan semangat merampas piala berprestij itu. Kali terakhir Malaysia menjuara piala berkenaan pada 1992.

Bagi tujuan berkenaan, KBMM mendapat kerjasama daripada Sekreteriat Belia Selangor (Gen-S) akan menganjurkan pertandingan badminton empat penjuru yang melibatkan beberapa pasukan, termasuk pasukan selibriti terkemuka tanah air. Selain KBMM sendiri, pasukan berkenaan ialah New TV3, kumpulan rock ternama tanah air, kolabrasi Wings bersama kelab peminatnya Sayap-sayap Wings (yang dikenali sebagai “Rocker United”) dan pasukan pilihan Gen-S.

Kempen ini adalah rentetan daripada kejayaan program “Tangkis Untuk Palestin” yang juga pernah dianjurkan KBMM beberapa bulan lalu.

Pengajuran yang dikenali sebagai “Temasya Piala Thomas KL 2010” ini akan diadakan di pusat sukan Sport Planet, Ampang, Kuala Lumpur iaitu pada 8 Ogos 2009 (Sabtu), bermula jam 2 petang sehingga 11 malam. Di kemuncak acara, satu persembahan musik akustik oleh penyanyi indipenden, Nabeeha Hameed juga akan memeriah program berkenaan.

Selain itu, KBMM berazam untuk mengadakan jelajah temasya yang sama ke seluruh negara mulai selepas hari raya Idul Fitr sehinggalah menjelang pertandingan Piala Thomas dan Uber sekitar pertengahan tahun hadapan. Sekurang-kurangnya antara negeri yang dijadualkan akan dilawati untuk mengadakan temasya seumpama termasuklah Pulau Pinang, Terengganu, Johor dan juga Sabah.

KBMM mengalu-alukan kehadiran orang ramai dan satu tabung khas untuk rumah anak-anak yatim akan dibuka. Semua hasil kutipan akan diserahkan kepada rumah anak-anak yatim yang terpilih pada majlis berasingan yang dijadual diadakan pada bulan Ramadhan nanti.

KBMM percaya bahawa hanya dengan keazaman yang tinggi yang program yang konsisten maka kesedaran dan cita-cita untuk merampas kembali Piala Thomas akan menjadi kenyataan.

Thursday, July 30, 2009

JEMPUTAN KE SIDANG KHAS MEDIA “Temasya Bulutangkis Piala Thomas KL 2010






No. 48-2, Jalan Telawi off Jalan Bangsar, 59100, KUALA LUMPUR.

30 JULAI 2009

KENYATAAN MEDIA | dengan email

Kepada :

SEMUA WARTAWAN & EDITOR MEDIA.

JEMPUTAN KE SIDANG KHAS MEDIA “Temasya Bulutangkis Piala Thomas KL 2010.

Berhubung perkara di atas, pihak Kesatuan Bulutangkis Melayu Muda ( KBMM ) akan mengadakan satu sidang media khas bagi memaklumkan mengenai sebuah program Temasya Bulutangkis Piala Thomas KL 2010.

2. Program tersebut yang diberi tema “ Temasya Bulutangkis Piala Thomas KL 2010” antara lain bertujuan untuk memulakan kempen menyongkong pasukan negara bagi kejohanan Piala Thomas pada tahun depan yang akan dianjurkan di Kuala Lumpur..

3. Selain daripada wakil KBMM, turut hadir di dalam sidang media itu nanti adalah wakil NEWS TV3, SAYAP-SAYAP WING dan SITI NURHALIZA PRODUCTION. Butiran sidang media berkenaan adalah seperti berikut :-

Tarikh : 2 Ogos 2009 | Ahad
Tempat : Auditorium MPAJ, Pandan Indah.
Masa : Bermula 2.00 petang

4. Oleh itu, KBMM mengalu-alukan kehadiran editor, wartawan dan semua pihak media ke sidang media berkenaan. Pengesahan kehadiran boleh dimaklumkan terus kepada saya atau email sepertimana alamat di bawah.

Sekian dimaklumkan. Terima kasih.




t.t.
ISMAIL MOHD SHARIFF
Presiden

H / P : 012 – 258 44 88

email : kbmm.tangkis@gmail.com

Friday, July 24, 2009

Perlawanan Amal Tangkis Untuk Palestin KBMM VS Sayap-sayap WINGS








KBMM Sarankan “Misi Thomas 2010”

KUALA LUMPUR ~ Selepas berjaya menganjurkan perlawanan amal badminton “Tangkis Untuk Palestin” Sabtu lalu, Kesatuan Bulutangkis Melayu Muda (KBMM) kini merangka untuk membuat jelajah ke seluruh negara bagi mempromosikan “Misi Thomas 2010” sebagai persiapan merampas semula piala berprestij itu tahun hadapan.

Dalam sidang media pada sebelah petang sebelum perlawanan tersebut, Penasihat KBMM, Hasmi Hashim berkata, semangat masyarakat di peringkat akar umbi wajar disemarakkan bagi memberi sokongan padu kepada pasukan kebangsaan menuju kejohanan Piala Thomas dan Uber tahun hadapan.

Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada kejohanan Piala Thomas tahun hadapan dan kali terakhir pasukan negara berjaya merebut piala itu adalah pada 1992.

Sementara itu, KBMM yang kini tertumpu kepada merancakkan kegiatan sukan badminton di peringkat komuniti juga sedang bersiap untuk menghantar wakil ke Kejohanan Seluruh England Mac nanti.

“Kita mahu melihat secara lebih dekat bagaimana kejohanan yang dianggap paling berprestij itu dianjurkan selain memberi sokongan kepada pasukan badminton kebangsaan di sana,” katanya.

Menurut Hasmi lagi, dalam masa terdekat ini KBMM juga akan menghantar memorandum kepada Kementerian Pelancongan Malaysia bagi memohon agar lagenda-lagenda badminton negara diangkat sebagai ikon pelancongan di dalam dan luar negara.

“Masyarakat antarabangsa mengenali Misbun dan Rashid Sidek misalnya, dan kita wajar memanfaat lagenda-lagenda ini sebagai ikon pelancongan di samping memperlihatkan Malaysia sebagai negara jagoan badminton dunia,” tambah Hasmi dalam sidang media yang sama.

KBMM turut memohon kepada Kerajaan Selangor merezabkan rumah allahyarham Dato’ Haji Sidek bagi memberi penghormatan kepada bapa yang melahirkan pemain-pemain handalan dunia.

Sementara itu, jurulatih perseorangan negara, Dato’ Misbun Sidek pula berkata, program amal seumpama perlu terus diadakan bagi menyemarakkan lagi sukan badminton di peringkat akar umbi.

Ketika bercakap dalam program talk “Badminton Di Hati Saya,” Misbun turut membongkar rahsia rambut gaya Mohican yang pernah menjadi perhatian suatu masa dahulu.

“Saya mahu menjadi pemain nombor satu dunia, dan saya lakukan apa sahaja untuk mendapat gelaran itu. Rambut gaya Mohican itu seperti nombor satu daripada hadapan kepala sehingga ke ekor rambut,” katanya.

Turut hadir dalam program tersebut, pemain kebangsaan Roslin Hashim yang menceritakan pengalaman beliau berada di bawah latihan Misbun. Menurut Roslin, Misbun adalah seorang yang sangat serius dalam soal disiplin sehingga untuk menjadi seorang pemain handalan, beliau wajib bangun tidur seawall jam lima pagi setiap hari.

Dalam perlawanan amal Sabtu lalu bagi mengutip tabung untuk mangsa perang di Gaza, KBMM tumpas 3-4 di tangan Rockers United (RU). Pasukan selibriti RU diwakili oleh kumpulan rock Wings dan kelab peminatnya, Sayap-sayap Wings. Antara nama selibriti lain yang mewakili KBMM adalah pelakon Farouk Hussain, bekas pekerja Raja Lawak, Azrul Zaidi dan penyampai Radio Era, Adifashla Juraimi.

Cenderamata selepas pelawanan amal itu disampaikan bekas pemain beregu kebangsaan, Jailani Sidek. Perlawanan persahabatan amal berjaya mengutip hampir RM2 ribu dan hasil sumbangan orang ramai itu diserahkan terus kepada wakil Mercy Malaysia oleh Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, YB Amiruddin Shaari.

Program dimeriahkan dengan persembahan daripada kumpulan Pretty Ugly yang mendendangkan dua buah lagu, termasuk lagu berjudul “Dunia” yang ditujukan kepada mangsa perang di Gaza.