Monday, August 3, 2009

KBMM Lancar Kempen “Temasya Piala Thomas KL 2010”

Kesatuan Bulutangkis Melayu Muda (KBMM) sebagai badan bukan kerajaan (NGO) pertama di negara ini yang melancarkan kempen Piala Thomas 2010 yang akan diadakan di Kuala Lumpur tahun hadapan. Pelancaran kempen berkenaan telah diadakan pada Ahad lalu, 2 Ogos di Bilik VIP, menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Kempen berkenaan adalah bertujuan untuk mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat selain mencetuskan semangat merampas piala berprestij itu. Kali terakhir Malaysia menjuara piala berkenaan pada 1992.

Bagi tujuan berkenaan, KBMM mendapat kerjasama daripada Sekreteriat Belia Selangor (Gen-S) akan menganjurkan pertandingan badminton empat penjuru yang melibatkan beberapa pasukan, termasuk pasukan selibriti terkemuka tanah air. Selain KBMM sendiri, pasukan berkenaan ialah New TV3, kumpulan rock ternama tanah air, kolabrasi Wings bersama kelab peminatnya Sayap-sayap Wings (yang dikenali sebagai “Rocker United”) dan pasukan pilihan Gen-S.

Kempen ini adalah rentetan daripada kejayaan program “Tangkis Untuk Palestin” yang juga pernah dianjurkan KBMM beberapa bulan lalu.

Pengajuran yang dikenali sebagai “Temasya Piala Thomas KL 2010” ini akan diadakan di pusat sukan Sport Planet, Ampang, Kuala Lumpur iaitu pada 8 Ogos 2009 (Sabtu), bermula jam 2 petang sehingga 11 malam. Di kemuncak acara, satu persembahan musik akustik oleh penyanyi indipenden, Nabeeha Hameed juga akan memeriah program berkenaan.

Selain itu, KBMM berazam untuk mengadakan jelajah temasya yang sama ke seluruh negara mulai selepas hari raya Idul Fitr sehinggalah menjelang pertandingan Piala Thomas dan Uber sekitar pertengahan tahun hadapan. Sekurang-kurangnya antara negeri yang dijadualkan akan dilawati untuk mengadakan temasya seumpama termasuklah Pulau Pinang, Terengganu, Johor dan juga Sabah.

KBMM mengalu-alukan kehadiran orang ramai dan satu tabung khas untuk rumah anak-anak yatim akan dibuka. Semua hasil kutipan akan diserahkan kepada rumah anak-anak yatim yang terpilih pada majlis berasingan yang dijadual diadakan pada bulan Ramadhan nanti.

KBMM percaya bahawa hanya dengan keazaman yang tinggi yang program yang konsisten maka kesedaran dan cita-cita untuk merampas kembali Piala Thomas akan menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment