Sunday, August 9, 2009

Laporan "Temasya Piala Thomas KL 2010"


KUALA LUMPUR (9 Ogos): Menjelang Kejohanan Piala Thomas dan Uber tahun hadapan yang bakal menyaksikan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah, Kesatuan Bulutangkis Melayu Muda (KBMM) berjaya menganjurkan kempen "Temasya Piala Thomas KL 2010".

Kejohanan empat penjuru berlangsung semalam di Pusat Sukan Sport Planet, Ampang dekat sini. KBMM adalah badan swardaya sukan pertama di negara ini yang menggerakkan kempen menjelang Kejohanan Piala Thomas yang dijangka diadakan sekitar pertengahan tahun hadapan.

Selain KBMM sendiri, tiga lagi pasukan yang menyertai pertandingan semalam ialah New TV3, Rockers United (Wings dan Sayap-sayap Wings) dan Pilihan Gen-S. Rockers United berjaya menggondoli tempat pertama, News TV3 tempat kedua, KBMM yang menewaskan Pilihan Gen-S masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat.

Menurut Penasehat KBMM, Buddhi Hekayat, 33, program seumpama akan diteruskan sebelum menjelang Kejohanan Piala Thomas tahun hadapan.

"KBMM merasakan satu tanggungjawab sosial kami untuk menggerakan kempen kesedaran di kalangan masyarakat bawah agar siap menyokong pasukan negara menjuarai Piala Thomas tahun hadapan," kata Buddhi.

Kali terakhir Malaysia menjuarai Piala Thomas pada 1992 yang juga diadakan di Kuala Lumpur.

"Tidak pernah lekang daripada ingatan kita bagaimana hebatnya pasukan negara waktu itu menjuara Piala Thomas dan sokongan seluruh rakyat amat luar biasa," katanya lagi.

Menurutnya, KBMM percaya bahawa peranan menggerakkan kesedaran dan sokongan rakyat perlu dilakukan sekarang bagi menzahirkan sokongan padu daripada peringkat akar umbi.

"KBMM mengisyaratkan andai kita lewat menggerakkan kempen kesedaran, justeru kami bimbang kekentalan dan kepaduan sokongan longgar. Kita punya azam dan misi besar," tambah Buddhi.

Februari lalu, KBMM turut berjaya menganjurkan program bulutangkis amal kepada mangsa kezaliman rejim Zionis di Gaza. Program berkenaan dikenali sebagai "Tangkis Untuk Palestin."

"KBMM berikhtiar untuk sedikit menyumbang kepada progresifnya kemajuan sukan badminton meski kita bukan sebuah badan sukan yang melimpah wang ringgit," tambahnya lagi.

Hadiah-hadiah kepada pasukan yang bertanding turut disampaikan oleh wakil ahli majlis Ampang Jaya, Sabaruddin Main kepada para pemain. Sementara itu, Presiden KBMM, Ismail Mohd Shariff juga menyampaikan cenderahati kepada tetamu kehormat dan pihak penaja.

Pada kemuncak acara, penyanyi indipenden yang giat meningkat, Nabeeha Hameed menghiburkan dengan empat buah lagu termasuk beberapa single beliau yang berjudul "Pari-pari Kertas" dan "Inilah Aku". Beliau turut berduet dengan kumpulan Mistirius.

No comments:

Post a Comment